1. Membetulkan niat. Di kalangan kebanyakan pelajar, tujuan belajar ialah untuk mendapatkan sijil yang dengannya ia boleh memegang jawatan dan dapat menyara hidup. Tetapi yang Islam kehendaki supaya niat ia belajar ialah untuk memberikan sumbangan terhadap Islam, Orang-orang Islam dan menegakkan negara Islam serta mengisi ruang kekosongan yang diperlukan oleh Islam kerana Islam menggalakkan kita supaya menuntut ilmu dan melaksanakan kewajipan menjadi khalifah di muka bumi dan memakmurkannya dengan kuasa-kuasa yang Allah sediakan di dalamnya.Niat yang begini akan menjadikan belajar itu salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah dan akan diberi pahala atas segala usaha, masa dan harta yang digunakan itu supaya pelajar mengetahui yang mengasas dan mencipta ilmu-ilmu ialah ulama Islam. Oleh itu kita perlu berusaha supaya dapat mengeluarkan ahli-ahli yang pakar di dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan.
2. Pelajar Muslim juga hendaklah membetulkan pandangannya kepada pelajaran dan ia bukan semata-mata penguasaan akal tentang maklumat-maklumat yang perlu dipenuhkan di dalam otak untuk menjawab di dalam peperiksaan di akhir tahun, tetapi yang dikehendaki ialah dapat menyediakan peribadi terpelajar yang membina ilmunya, boleh memberikan faedah kepada kehidupan manusia, dan ia hendaklah mengetahui tentang sejauh mana hubungan apa yang dipelajarinya dengan kehidupan. Pelajar Islam juga perlu tahu bahawa pendidikan akhlak adalah perlu didahulukan dari ilmu pengetahuan yang lain, dan di sana tidak ada yang lebih utama dari ajaran Islam dan adab-adabnya untuk melaksanakan pendidikan. Mereka juga hendaklah mengetahui adab-adab Islam dan ajaran-ajarannya dan memaksakan dirinya untuk mengetahuinya, membiasakan diri dengan sifat benar, amanah, menunaikan janji, berlemah lembut dan segala akhlak Islam dan menjauhkan diri dari akhlak yang dikeji. Dan yang paling nyata sekali ialah perkara yang mesti ditunaikannya terutamanya sembahyang, berbuat baik terhadap dua ibu bapa, berbaik-baik hubungan dengan keluarga dan kawan-kawannya.
3. Pelajar Muslim, hendaklah pandai memilih kawan dari kalangan kawan-kawannya. Seterusnya memilih kawan yang soleh dan tidak berkawan dengan orang yang jahat. Perhubungannya hendaklah sederhana dan dapat dikawal, jangan sampai membuang masa pelajarannya.
4. Pandai dalam memilih majalah-majalah untuk menenangkan fikirannya. Pilih yang berilmu dan berfaedah dan jauhkan dari yang merosakkan akhlak dan mendapat dosa.
5. Hendaklah memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap pelajaran kerana belajar untuk membentuk peribadi. Seterusnya, masa hendaklah dihabiskannya dengan sebaik-baiknya untuk pelajaran supaya dapat tumpukan kepada kewajipan-kewajipan yang lain.
6. Peralatan rumah, sekolah atau belajar, di meja dan tempat tidur hendaklah disusun dengan kemas supaya selesa untuk aktiviti harian. Tempat letak pakaian, buku-buku dan nota-nota kuliah mestilah tersusun dengan kemas supaya tidak membuang masa untuk mencarinya bila diperlukan. Pelajar yang tidak sistematik akan menyebabkan pemikirannya juga tidak tenteram dan membuang masa dan tenaga untuk mencari alat-alat yang diperlukannya apabila peralatan tidak disusun di tempat yang senang untuk cari.
7. Jadual sekolah dan rumah hendaklah dibuat. Untuk membahagikan masa dengan adil untuk belajar, mengulangkaji, tidur dan berusaha untuk mengikut waktu yang ditetapkan itu. Sembahyang hendaklah ditunaikan apabila masuk sahaja waktunya, kerana selepas sembahyang pelajar akan berdoa kepada allah dan akan berasa cergas dan cerdas . Seterusnya tidak boleh belajar pada waktu tidur. Kerana pelajar hendaklah mendapatkan waktu tidur yang cukup supaya tidak tidur di dalam kelas. Seterusnya, ramai pelajar yang tidak mengambil berat terhadap pelajarannya di awal pelajaran dan masa di buang begitu sahaja, mereka menggantikan masa yang dibuangnya itu di akhir tahun dengan berjaga sepanjang malam. Ini adalah satu kesalahan yang besar bagi pelajar Muslim. Jadual harian hendaklah disusun sejak dari awal pembelajaran lagi secara sederhana kerana dengan secara paksa akan menyebabkan kegagalan.
8. Pelajar Muslim hendaklah membiasakan diri dengan kebersihan dimulai dengan pembersihan dalaman, pembersihan hati dari dendam dan hasad, pemarah dan takabbur, terpedaya dan setiap yang dimurkai oleh Allah. Hatinya hendaklah dipenuhi dengan sifat taqwa, kasih saying, ikhlas, bersih hati, bertawadu’ dan setiap yang diredhai oleh Allah. Setelah itu hendaklah menjaga kebersihan badan, pakaian, tempat tidur, meja tulis dan buku-buku.
9. Pelajar hendaklah menerima pelajaran terus dari guru-gurunya dan jangan tidak hadir ke kelas kecuali berlaku keuzuran yang kuat. Fikirannya hendaklah sentiasa sedar (memberi tumpuan) ketika mengikuti pengajaran guru, tidak terganggu dengan urusan yang lain, kerana jika ajaran guru itu dapat dikuasainya, maka mudahlah pelajar tersebut memahami. Banyak perbezaan yang akan dialami jika tidak hadir kelas atau tidak mengambil berat tentang pengajaran guru..
10. Untuk memudahkan pelajar menguasai seluruh pelajarannya di akhir tahun maka ia perlu membuat ringkasan bagi setiap bab dan isi-isi dengan menggunakan perkataan yang mudah difahami. Membuat peta minda, nota yang ringkas supaya mudah faham.
11. Pelajar Muslim hendaklah berusaha supaya dapat menguasai pelajarannya dan mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan mengatasi pelajar lain. Ini merupakajn perkara yang dituntut dan satu kewajipan yang akan menggembirakan kedua ibu bapanya. Ia juga membuktikan bahawa usahanya untuk menjadi Muslim yang sebenar tidak sekali-kali mengganggu pelajarannya bahkan mendorongnya mengatasi kawan-kawan yang lain.
12. Pelajar muslim hendaklah mencungkil bakat dalam bidang yang boleh memberi manfaat dan menjadikan ikutan kepada rakan-rakan yang lain supaya memupuk bakat itu untuk digunakan bagi kebaikan Islam.
13. Pelajar Muslim hendaklah sentiasa dalam keadaan zikrullah dan meminta perlindungan dari godaan syaitan. Segala amalan, belajar, menjawab dalam peperiksaan hendaklah dimulakan dengan nama Allah dan memohon pertolongan dari Allah. Ia hendaklah menunaikan kewajipan terhadap pelajaran dan mengulangkaji, kemudian bertawakkal kepada Allah, mulakan peperiksaan dengan hati yang tandus, menerima keputusan iaitu dengan mengucap Bismillah dan bersyukur kepada Allah sekiranya berjaya dan kembalikan segalanya itu kepada Allah atas pertolongan dan taufikNya.
14. Pelajar perempuan Islam juga hendaklah berpegang dengan apa yang telah ditentukan oleh Islam iaitu hendaklah ia menjaga sifat kewanitaannya dan berpegang teguh dengan adab-adab Islam seperti pakaian Islam yang sempurna dari segi rupa bentuknya dan menjauhkan apa yang di larang dari berbagai jenis perhiasan yang dilarang. Seterusnya hendaklah menjaga diri dari tempat yang menimbulkan keraguan dan percampuran,dan sifat-sifat yang tidak senonoh bagi pelajar Islam Seterusnya hendaklah berpegang dengan adab malu, bijak dalam memilih kawan perempuan serta mendalami masalah agama terutama yang berhubung dengan perempuan. Pelajar hendaklah melaksanakan peranannya dalam menjadi contoh sebagai pelajar muslimah yang sebenarnya kepada kawan-kawan dan masyarakat.
No comments:
Post a Comment